MAS tawar diskaun tambang antarabangsa hingga 50%


KUALA LUMPUR - Malaysia Airlines (MAS) ketika ini menawarkan tambang udara antarabangsa terangkum yang menarik dengan pengurangan sehingga 47 peratus daripada tambang kelas ekonomi paling rendah dan 50 peratus daripada tambang kelas perniagaan paling rendah untuk pelanggan Malaysia.
   
Syarikat penerbangan nasional itu dalam satu kenyataan hari ini berkata tawaran-tawaran ke destinasi terpilih di Asean, Australia, New Zealand, Jepun, China, India, dan Maldives ini tersedia sehingga 18 Jun, 2012 dan sah bagi perjalanan sehingga 13 Ogos, 2012.
   
Naib Presiden Kanan Serantau bagi Malaysia & Asean, Muzammil Mohamad berkata tawaran itu adalah antara yang terbaik dan MAS menjadikannya sebagai perjalanan mampu milik di sesetengah penerbangan terpilih ke dan dari Malaysia.
   
Antara tambang udara perjalanan kelas ekonomi menarik yang ditawarkan bagi perjalanan dari Kuala Lumpur ke destinasi Asean ialah ke Medan (RM408), Phuket (RM478), Jakarta (RM538) dan Ho Chi Minh City (RM598).
   
Tambang udara perjalanan kelas Perniagaan bermula daripada sehingga serendah RM808 ke Medan, RM1,308 ke Phuket dan Singapura serta RM1,658 ke Bangkok.     
   
Perjalanan pergi balik kelas ekonomi ke destinasi terpilih lain juga sangat mampu milik bermula dengan RM798 ke Hong Kong, RM1048 ke Beijing, RM1118 ke Chennai dan RM1598 ke Perth.
   
Tambang menarik yang sama juga ditawarkan bagi perjalanan kelas perniagaan seperti RM2,408 ke Chennai, RM2,998 ke Guangzhou dan Xiamen, RM3,098 ke Beijing, Hong Kong dan Bangalore, RM4,908 ke Male/Maldives dan RM5,098 ke Perth.
   
Pelanggan yang memulakan perjalanan mereka dari Pulau Pinang dan Johor Baharu menikmati tambang udara yang sama, manakala MAS menawarkan diskaun 50 peratus bagi sektor domestik Semenanjung Malaysia ke dan dari Kuala Lumpur yang menghubungkan ke destinasi antarabangsa.
   
Bagi Sabah dan Sarawak, kadar sehala standard RM240 ditambah kepada tawaran tambang kelas ekonomi.
   
Begitu juga, tambang udara kelas perniagaan diberi kadar yang sama bagi perjalanan dari Pulau Pinang dan Johor Baharu manakala diskaun 50 peratus bagi tambang kelas perniagaan terpakai bagi sektor dari tempat-tempat lain di Malaysia ke/dari Kuala Lumpur.
   
Tawaran-tawaran ini boleh didapatkan di laman web www.malaysiaairlines.com, talian bebas tol 24 jam MAS di 1 300 88 3000, MH Buddy dalam MAS Facebook, pejabat tiketnya dan ejen dilantik di seluruh Malaysia. - Bernama

Comments