Malaysia juarai perlumbaan perahu naga Ottawa


OTTAWA – Pasukan ”Malaysia Truly Asia” muncul sebagai juara pada Perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa Ottawa yang berakhir baru-baru ini untuk menyandang gelaran itu bagi tahun keempat berturut-turut.

Pasukan itu, yang dibarisi petugas Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Ottawa dan anggota keluarga mereka serta pelajar Malaysia yang menuntut di universiti Kanada, meraih gelaran juara dalam kategori Perwakilan Asing.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kanada, Datuk Hayati Ismail berkata, beliau amat menghargai usaha dan kegigihan anggota pasukan berkenaan untuk membuktikan bahawa mereka sukar ditandingi dalam perlumbaan tahunan itu.

"Pasukan ini mempamerkan semangat juang yang tinggi dan ini memancarkan sesuatu yang amat positif tentang Malaysia,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan suruhanjaya tinggi itu di sini hari ini.

Pemalu gendang pasukan itu, Syaza Hisham, adalah pelajar tahun tiga jurusan bioteknologi di Carleton University, manakala jurumudi, Megat Mohd Syukri Shuib, adalah pelajar tahun akhir jurusan kejuruteraan di universiti sama.

Perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa Ottawa, yang diadakan dari 22 hingga 24 Jun, adalah festival perahu naga terbesar di Amerika Utara dan menarik penyertaan 202 pasukan dari seluruh Kanada dan dunia. – BERNAMA

Comments