Kubur besar di Syria

 

WASHINGTON 2 Jun - Satu laman web kerajaan Amerika Syarikat (AS), semalam menyiarkan gambar-gambar kewujudan kubur besar di Syria dan membuktikan bahawa tentera kerajaan negara itu melancarkan serangan ke atas penempatan penduduk.


Menurut Biro Jabatan Negara yang mengendalikan laman web itu, gambar-gambar tersebut diambil awal minggu ini oleh satelit komersial dan menunjukkan penemuan sebuah kubur besar selepas insiden pembunuhan beramai-ramai di bandar Houla.

Mereka turut menunjukkan gambar-gambar kawah besar kesan daripada bedilan meriam di kawasan penempatan penduduk di bandar Atarib.

Terdapat juga gambar-gambar yang menunjukkan meriam-meriam tentera ditempatkan di tiga bandar berhampiran, selain helikopter gempur berhampiran bandar Shayrat dan Homs.

Gambar-gambar itu disiarkan di laman web http://www.humanrights.gov/2012/03/05/situation-in-syria/.

Lebih 100 lelaki, wanita dan kanak-kanak dibunuh beramai-ramai di bandar Houla pada minggu lalu dengan kebanyakannya ditembak atau ditikam dengan pisau.

Sementara itu Presiden Rusia, Vladimir Putin, semalam bertegas menyatakan pendirian Rusia terhadap peningkatan tekanan antarabangsa ke atas Syria dan menolak campur tangan tentera serta mempersoalkan keberkesanan sekatan yang dikenakan ke atas negara itu.

Putin berkata, sekatan kuat yang dikenakan ke atas sesebuah negara jarang membawa kejayaan dan pengunduran Presiden Bashar al-Assad juga tidak akan menyelesaikan krisis di negara itu. - REUTERS/AFP

-utusan-

Comments