Skip to main content

Kelar rakan ketika mabuk


6 Jun 20126 Jun 2012
PUCHONG – Kegembiraan enam sekawan menikmati minuman keras di asrama pekerja didiami mereka di Jalan PU ½ Puchong Utama di sini berakhir dengan salah seorang daripadanya mati dikelar, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 3.30 pagi itu, mangsa dan lima rakannya warganegara Myanmar dikatakan turut bermain daun terup dan bertaruh menggunakan wang.

Tanpa diketahui motifnya, berlaku pergaduhan antara mangsa dan suspek yang dikatakan berada dalam keadaan luar kawal akibat terlalu mabuk.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Tan Ah Chua berkata, kejadian berlaku di sebuah rumah teres dua tingkat yang dijadikan asrama dan dihuni beberapa pekerja  kilang termasuk mangsa dan suspek.

Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota bergegas ke tempat kejadian dan menemui mayat mangsa, Htay Win, 28, di ruang depan sebuah bilik di tingkat atas rumah teres berkenaan.

“Saksi yang juga rakan serumah mangsa memberitahu, sebelum kejadian mangsa dikatakan mabuk bersama rakannya sebelum tercetusnya pergaduhan. “Menggunakan pisau pemotong daging, seorang daripada rakan mangsa dikatakan terus menyembelihnya sebelum kesemuanya melarikan diri,” katanya.

Ah Chua berkata, punca pergaduhan sehingga menyebabkan mangsa diserang rakan senegaranya masih dalam siasatan. Katanya, identiti kelimalima rakan mangsa sudah dikenalpasti dan polis kini giat mengesan kesemua mereka yang melarikan diri.

“Antara mereka belum dapat dipastikan siapa yang mengelar mangsa sehingga mati tetapi difahamkan mereka semua bekerja di sebuah kilang di kawasan perindustrian Bukit Puchong sebelum ini.

“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan siasatan rapi akan dijalankan,” katanya kepada Sinar Harian. 

Comments