Ini baru cinta mati..

Cinta sampai hujung nyawa

PASIR GUDANG – “Walaupun saya tahu bakal isteri saya menghidap kanser, tetapi saya tetap ingin berkahwin dengannya kerana berasa teramat bahagia dan gembira berada di sampingnya,” luahan ikhlas suami kepada pesakit kanser hidung tahap empat, Norhayati Rohani, 26, dengan linangan air mata.

Abd Anip Rusdi, 26, berkata, perkenalan bersama Norhayati ketika sama-sama bekerja di sebuah kilang sekitar bandar raya ini menimbulkan bibit-bibit cinta yang terlalu indah.

Bagaimanapun, menurutnya, harapannya untuk melihat isterinya sembuh selepas berkahwin dua tahun lepas musnah apabila penyakit kanser yang dihidapi isteri sejak 2008 semakin serius.

“Isteri saya kerap mengalami sakit kepala dan sangkakan biji di lehernya hanya biji angin, tetapi selepas beberapa kali menerima rawatan di hospital barulah disahkan kanser hidung.

“Walaupun saya tahu dia sakit, tetapi saya nekad ingin memperisterikan dia dengan harapan penyakitnya sembuh, tetapi selepas melahirkan anak tunggal kami, penyakitnya semakin serius,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, kelmarin.

Abd Anip berkata, pada Disember 2011 sehingga Februari lalu, Norhayati hanya terlantar, tetapi sedikit pulih selepas beberapa kali menjalani rawatan kemoterapi.

Menurutnya, kini keadaan Norhayati semakin parah apabila kanser berkenaan mula merebak ke bahagian mata sehingga sebelah matanya sudah tidak nampak dan kulit di bahagian dahi menggelembung pecah.

“Walaupun saya bakal kehilangan dia selepas doktor sahkan isteri saya hanya menunggu masa dan tiada harapan lagi untuk sembuh, tetapi saya perlu tabah demi masa depan anak tunggal kami.-sinar harian-

Comments