KUALA LUMPUR: Isu penggunaan dakwat
kekal dalam pilihanraya sekali lagi dipertikaikan apabila ia dikatakan akan
menjadi punca orang tidak mahu mengundi walaupun majlis fatwa negara telah mengesahkan
penggunaannya sebagai harus dan dibenarkan.
“Alasan yang menyatakan bahawa penggunaan
dakwat kekal dalam pilihanraya umum akan menyebabkan orang tidak akan keluar
mengundi mungkin dikeluarkan daripada mana-mana pihak sebagai usul untuk tidak
merealisasikan dakwat kekal.” Ujar Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub
ketika ditanya oleh wartawan The Malaysian Times, hari ini.
Usul penggunaan dakwat kekal pada pilihan
raya umum adalah salah satu daripada usul yang dikeluarkan pada pihak
pembangkang dalam perhimpunan Bersih sejak 2007 dan SPR telah mengesahkan
bahawa ia akan digunakan semasa PRU 13 nanti.
“SPR telah bersetuju untuk
melaksanakan penggunaan dakwat kekal dalam PRU Ke-13 akan datang. Bagi tujuan
ini, SPR telah meminda Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan
Raya) (Pindaan) 2012 yang mengandungi peruntukan penggunaan dakwat kekal dalam
urusan semasa pengundian yang telah
diwartakan pada 13 Februari 2012 dan berkuatkuasa pada 15 Februari 2012.” Kata
pengerusi SPR, Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz bin Mohd Yusof dalam kenyataan
media SPR pada 19 April 2012.
Pengunaan dakwat kekal dikatakan
dapat mengelakkan penipuan seperti pengundian berganda kerana sifatnya yang separa
kekal menjadikannya boleh bertahan lama dan tidak dapat ditanggalkan sesuka
hati.
“Di luar negara, dakwat kekal sudah
terbukti sebagai cara terbaik untuk
mengelakkan penipuan ketika
pilihanraya. Setakat ini, sudah banyak negara yang menggunakan dakwat kekal
dalam pilihanraya, dan mereka tidak mengalami sebarang masalah.”ulas
Salahuddin.
Kontroversi dakwat kekal bermula
apabila parlimen menolak penggunaannya pada PRU 12 2008 menyebabkan SPR
kerugian lima juta ringgit ia terpaksa dilupuskan begitu sahaja tanpa
digunakan.
“Apa yang penting, jangan kita mengadili
perkara yang belum berlaku.”ujar beliau.
Presiden Parti Pogressif
Penduduk(PPP), Datuk Seri M. Kayveas sebelum ini menyatakan bahawa wanita muda
mungkin tidak akan turun mengundi kerana tidak mahu mengotorkan jari
mereka yang cantik dengan dakwat kekal
yang mungkin bertahan sehingga tiga bulan.
-TMT_
Comments
Post a Comment