TErjun bangunan elak diberkas

PELABUHAN KLANG – Seorang lelaki sanggup terjun daripada bangunan untuk melarikan diri walaupun dihalang jurukamera sebuah stesen televisyen ketika polis menyerbu rumah kedai yang dijadikan premis urut haram di Jalan Kem, kelmarin.

Lelaki memakai topi keledar itu memanjat tingkap premis ketika serbuan­ polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Selangor pada jam 10 malam.

Jurukamera yang kebetulan berada di bawah premis bagi membuat liputan serbuan itu menjerit “Abang, jangan terjun”, tetapi tidak diendahkan.

Tindakan lelaki berusia 40-an itu menyebabkan kakinya terseliuh dan dalam keadaan terhincut-hincut, terus cuba melarikan diri.

Ketua Operasi, Inspektor Chay Hu Yeen berkata, lelaki itu ditangkap ketika bersembunyi dalam semak.

Katanya, polis turut menahan seorang wanita warga Indonesia yang dipercayai penjaga premis dan tujuh tukang urut, berusia dalam lingkungan 30-an.

Hu Yeen berkata, premis ini juga digunakan untuk perkhidmatan seks berdasarkan penemuan beberapa kondom yang disorok dalam kotak tisu.

“Rumah urut ini beroperasi sejak lima bulan lalu. Kebanyakan pelanggan warga asing dan RM50 dikenakan untuk perkhidmatan urut serta seks,” katanya.

Dalam perkembangan lain, D7 IPPK Selangor menyerbu sebuah lagi premis urut haram yang berselindung di sebalik rumah teres di Kampung Sungai Jarum, Telok Panglima Garang, Banting.

Ketua Operasi, Asisten Superintendan Adzli Abu Shah berkata, polis memberkas enam tukang urut wanita warga Thailand, berusia antara 34 dan 41 tahun.

Katanya, ketika itu mereka sedang leka melayan empat lelaki tempatan, berusia 20 hingga 55 tahun.

“Rumah urut ini sudah setahun beroperasi dan mengenakan kadar bayaran­ RM30 bagi satu jam perkhidmatan,” katanya.

Sumber

Comments