Sembang Soseh2: Cara kotor ikat suami

SS tumpang bahagia apabila tengok suami isteri yang hidup bahagia dan saling berkasih sayang. Bak kata pepatah, yang berat sama dipikul dan yang ringan sama dijinjing. SS lihat di mana ada artis ini, adalah isteri bersamanya dan ke mana isterinya pergi, sudah tentu artis ini akan menemaninya. Bahagia sungguh! 

Bukan senang nak mencari pasangan suami isteri yang sehati sejiwa. Tetapi pasangan suami isteri ini, macam belangkas mengalahkan mereka yang sedang bercinta. Semoga rumah tangga mereka berkekalan selamanya.

Bagaimanapun pada hujung minggu yang lalu, SS terserempak seorang kawan lama. Dia ini asalnya orang industri juga tetapi dah lama bersara kerana memberi tumpuan kepada suami dan anak-anak yang semakin membesar. Pun begitu, meskipun sibuk dengan kerja di dapur, dia masih berhubung dengan kawan-kawan lama yang selalu memberinya maklumat terkini termasuklah cerita rumah tangga artis yang SS perkatakan di atas.

Kata kawan SS ini, rumah tangga artis yang bahagia itu ada makna yang tersirat di sebaliknya. Menurut kawan SS lagi, datuk saudara sebelah isteri artis itu pandai ‘berubat’ orang dan dengan wajah yang serius, dia menyambung ceritanya yang sensasi itu. Jadi supaya artis itu sentiasa sayangkan isterinya dan mendengar segala cakapnya, dia sudah memberi petua kepada cucu saudara kesayangannya itu.

Petua yang minta diamalkan itu membuatkan tekak SS geli geleman, loya dan rasa nak muntah. Memang SS tak sanggup nak melakukannya iaitu mencampurkan minuman atau makanan suami dengan air kencing sendiri. Nauzubillah.

Kalau betullah cerita yang kawan SS sampaikan, akan dapat balalah si isteri. Kalau bukan sekarang pun, mungkin ketika malaikat maut datang menjemput nanti.

Kasih sayang antara suami isteri boleh dipupuk dengan pelbagai cara dan bukannya dengan bagi makan benda kotor. Teringat SS filem lakonan Sofea Jane iaitu Suami, isteri dan...

SS: Tergamak suami isteri artis teguk air kencing syaitan secara terbuka di depan khalayak.

Comments