Polis tangkap suspek kes pembunuhan pelajar Malaysia di Malang

JAKARTA: Polis Indonesia pada Khamis menangkap seorang lelaki berusia 52 tahun yang dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan pelajar Malaysia di Malang, Adrian Jay Prereira, kira-kira tiga bulan lalu.

Atase Pendidikan yang juga Setiausaha I Education Malaysia di Kedutaan Besar Malaysia Jakarta, Ludinata Misnun berkata penangkapan suspek yang berasal dari bandar Malang itu dimaklumkan oleh Ketua Polis Malang Teddy Minahasa Putra pada Jumaat.

Lelaki itu ditangkap selepas polis menemui beberapa bukti miliknya di tempat kejadian, katanya.

Beliau berkata pihak polis memberitahu bahawa suspek dibantu oleh seorang lelaki berusia 43 tahun dalam kejadian pembunuhan itu dan polis kini masih memburu rakannya itu.

Dalam kejadian pada malam 7 November lalu, Adrian mati dibunuh ketika cuba menghalang seorang lelaki mencuri motosikalnya di luar rumahnya di bandar Malang, Jawa Timur.

Pembunuhan penuntut Fakulti Perubatan di Universiti Brawijaya, Malang itu mengejutkan rakyat Malaysia. Seramai 173 pelajar Malaysia menuntut di Malang, dan daripada jumlah itu, 161 belajar di Universiti Brawijaya.

"Motif dari kes pembunuhan ini adalah kerana suspek berasa terancam dengan tindakan mangsa yang cuba melawan.

"Dengan penangkapan suspek itu, polis Kota Malang berkata kes ini dianggap selesai, kata Ludinata.

Beliau berkata menurut Teddy Minahasa, kes itu adalah bermotifkan jenayah dan tidak mempunyai kaitan dengan hubungan dua hala Malaysia-Indonesia. - Bernama


Comments