Perut terburai dalam ladang sawit

KAPAR: Seorang anggota polis bantuan sebuah ladang kelapa sawit yang melakukan rondaan tergamam sejurus menemui mayat seorang lelaki dengan kesan tetakan di kepala selain perut terburai dalam kejadian di Jalan Akob, Bukit Kapar, di sini, semalam.
Difahamkan anggota polis bantuan terbabit menemui mayat mangsa yang berusia 40-an jam 7 pagi sebelum melaporkan kejadian berkenaan kepada polis. Ketua Polis Klang Utara, Superintendan Mohamad Shukor Sulong berkata, pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Konteinjen (IPK) Selangor yang membuat pemeriksaan lanjut menemui lima kesan tetakan dipercayai menggunakan senjata di kepala mangsa.

Mohamad Shukor berkata, perut mangsa didapati terburai dengan keadaan kepala yang hampir hancur.
“Siasatan awal polis mendapati mangsa dibunuh kurang daripada 24 jam di tempat kejadian dan dibiarkan di situ oleh suspek.

“Polis juga tidak menolak kemungkinan lebih dari dua suspek terbabit melakukan pembunuhan berkenaan, namun tidak menemui senjata yang digunakan di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, ketika ditemui, mangsa berpakaian lengkap memakai baju hitam, seluar hijau dan jaket coklat serta kasut kanvas.
Tambahnya, identiti mangsa belum dikenal pasti berikutan tiada dokumen pengenalan diri ditemui pada badan mangsa dan sekitar tempat kejadian.

Beliau berkata, motif kejadian masih dalam siasatan dan mayat kini di hantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, untuk bedah siasat.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian berkenaan mahupun kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi polis untuk menyalurkan maklumat. “Kes akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksan (KK) kerana membunuh dan jika sabit kesalahan akan dihukum gantung sampai mati,” katanya.

-metro-

Comments