Penghuni terakhir

KUALA LIPIS: Memang aneh apabila sebuah perkampungan yang pernah dihuni ratusan orang, kini sunyi sepi dan hanya tinggal dua beradik yang sudah mencapai usia emas masih setia mendiami kampung berkenaan.

Kampung Pagar di daerah ini pernah melahirkan ramai tokoh terkenal tanah air seperti bekas Menteri Luar, Allahyarham Tun Ghazali Shafie atau lebih dikenali sebagai ‘King Ghaz’ serta seorang pembesar Pahang, Kadi Ibrahim, namun seorang demi seorang penduduknya mengambil keputusan berpindah terutama selepas banjir besar pada Januari 1971.

Selepas 1971, hanya tinggal Osman Ibrahim, 79, dan adiknya, Yaakob, 68, masih setia bermastautin di Kampung Pagar walaupun rumah mereka tiada kemudahan elektrik dan air paip.

Jika dulu, Kampung Pagar tidak ada bezanya dengan perkampungan lain di negara ini tetapi kini, sebahagian besarnya sudah boleh dianggap hutan rimba dan hanya kelihatan struktur bangunan masjid Kampung Pagar bagi membuktikan ia pernah didiami penduduk satu ketika dulu.


Kampung Pagar pernah didiami 235 penduduk, namun banjir besar memusnahkan hampir keseluruhan kampung berkenaan hingga memaksa penduduk berpindah ke seberang sungai selepas Rancangan Penempatan Semula Banjir Kampung Pagar (RPSB) diwujudkan.
sumber

Comments