NAsri pilih MAnchester City

MANCHESTER - Pemain sayap lincah Manchester City, Samir Nasri 'mengejek' Manchester United dengan mendakwa pilihannya tepat apabila menolak tawaran untuk beraksi bersama skuad The Red Devils.

Nasri memilih City berbanding United pada musim panas lalu selepas kedua-dua kelab Manchester itu berusaha mendapatkan khidmatnya dari Arsenal.

Nasri akhirnya menjadi pemain City selepas melengkapkan yuran perpindahan bernilai £24 juta (RM118 juta).

Sejurus selepas menjuarai Liga Perdana England, Nasri menegaskan bahawa keputusannya menolak tawaran United adalah tepat.

"Saya mengambil masa beberapa bulan sebelum membuat keputusan tersebut (memilih City) selepas berbincang dengan ahli keluarga dan penasihat saya," ujar Nasri.

Terdahulu, Nasri mengeluarkan kenyataan bahawa sekiranya pemain Arsenal berhasrat untuk menjulang trofi, mereka harus meninggalkan The Gunners.

Mengulas lanjut, Nasri menambah: "Pegawai dan bekas pemain City, Patrick Viera mengatakan
United merupakan pasukan yang sudah biasa memenangi segala-galanya.

"Viera ada berkata, musim lalu mereka (United) telah memenangi gelaran juara Liga Perdana England dan berjaya beraksi di pentas final Liga Juara-Juara.

"Jadi, jika saya menandatangani kontrak (dengan United), saya mungkin tidak berpeluang untuk beraksi dengan lebih kerap dan ia bukan satu kejayaan bagi pemain seperti saya.

"Namun sekiranya saya memilih City, sebuah kelab yang sedang melakukan perubahan, saya akan menjadi salah satu sejarah bersama kelab itu.

"Akhirnya saya memutuskan untuk menyarung jersi City," ujar pemain kelahiran Perancis itu. - Agensi
 

Comments