Minta siasat budak terbiar

Oleh HAMID KARIM

SHAH ALAM: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) digesa menjalankan siasatan segera latar belakang seorang kanak-kanak berusia enam tahun yang ditemui berseorangan di padang awam Isnin lalu, ekoran wujud gambar dipercayai sepupu perempuan kanak-kanak itu dalam keadaan muka mempunyai kesan lebam.

Metro Ahad yang memperoleh tiga keping gambar berkenaan, difahamkan kanak-kanak perempuan itu adalah anak wanita yang mengaku ibu saudara dan menuntut budak itu daripada penjagaan JKM selepas dia diserahkan kepada Balai Polis Seksyen 15, di sini, beberapa hari lalu.

Menerusi gambar itu, muka kanak-kanak perempuan terbabit dilihat mempunyai kesan lebam kebiruan pada pipi sebelah kiri, manakala dua gambar yang lain dikatakan mempunyai kesan merah lima jari seperti dikasari menggunakan tangan.

Sumber yang merakamkan gambar itu berkata, foto berkenaan dirakamnya beberapa bulan lalu sebagai bukti jika berlaku sebarang tohmahan atau siasatan untuk dijadikan bahan bukti.

Beberapa jiran memberitahu, kanak-kanak perempuan itu kini dikatakan tinggal serumah bersama ibu kandungnya di sebuah unit flat kediaman di Kota Kemuning, dekat sini.

Difahamkan, ibu kanak-kanak perempuan dan ibu budak itu adalah adik beradik dan kedua-duanya ibu tunggal yang dikatakan berasal dari Port Dickson, Negeri Sembilan.

Seorang penduduk berkata, beliau akan membuat laporan rasmi di pejabat JKM Shah Alam minggu ini selepas menyedari wujudnya gambar menunjukkan lebam di muka sepupu perempuan budak itu, demi menjaga kepentingan semua pihak.

Menurutnya, walaupun dimaklumkan ibu kanak-kanak perempuan itu sebelum ini memberi alasan lebam dan kesan merah di pipi kanak-kanak perempuan dipercayai berusia tujuh tahun itu berpunca daripada terjatuh, banyak pihak masih was-was dan mahu pihak berkuasa menyiasat segera.

“Tambahan pula apabila budak itu yang tinggal bersama sepupu perempuannya itu ketika ditemui turut mempunyai benjol di kepala seperti diakui pegawai JKM dan penduduk yang menemuinya,” katanya.

Ketua Umno cawangan Kota Kemuning, Datuk Rosli Mohd Amin yang turut melihat gambar lebam pada pipi sepupu perempuan budak itu turut terkejut dan kecewa terutama apabila masih gagal menemui keluarga berkenaan untuk bertanya khabar dan menyalurkan bantuan.

Comments