Meninggal dunia kerana renjatan elektrik

MELAKA: “Sebaik ternampak dua beradik itu bermain dekat tiang elektrik yang ditakungi air ketika hendak keluar mengambil perut ayam di Bukit Rambai, saya menyuruh mereka pulang. Namun, selang kira-kira lima minit kemudian sejurus pulang semula saya ternampak mangsa terlentang dan tidak bergerak.

“Saya mendapatkannya untuk membantu, namun apabila pijak air bertakung itu, saya terasa getaran pada kaki,” kata Md Afizi Senin, 40, mengenai kejadian seorang kanak-kanak perempuan, Mariam Najwa Massari, 9, yang meninggal dunia selepas dipercayai terkena renjatan elektrik di Kampung Gedung Lalang 1, Bukit Rambai, di sini, semalam.

Menurut Md Afizi, ketika itu dia nampak muka kanak-kanak terbabit sudah biru.
Katanya, sebaik gagal melangkah masuk dalam air yang bertakung itu, dia memanggil bapa mangsa di rumahnya tidak jauh dari tempat kejadian.

“Bapa mangsa bergegas keluar dan ketika memeluk anaknya, dia turut rebah, tetapi terus menariknya ke tepi,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu, jiran, Safree Mahat, 33, berkata, dia yang berehat di rumah terkejut selepas diberitahu mengenai kejadian itu oleh anak lelakinya, Shahrul Aiman, 11.
Menurutnya, ketika bergegas keluar, dia melihat bapa mangsa memeluknya sambil meminta bantuan menghubungi ambulans.

“Melihatkan keadaan kanak-kanak terbabit, saya dan beberapa orang mengangkatnya masuk ke dalam kereta saya sebelum ke Klinik Kesihatan Desa Bukit Rambai.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di bilik kecemasan klinik terbabit doktor mengesahkan kanak-kanak itu sudah meninggal dunia memandangkan matanya sudah membengkak manakala perjalanan darahnya pada urat saraf terhenti,” katanya.

Difahamkan, mangsa yang juga anak ke-empat dari lima beradik adalah satu-satunya anak perempuan dalam keluarga berkenaan.

Comments