KLUANG - Seorang remaja bukan hanya
maut dikelar sahabat baik, malah lebih tragis lagi apabila insiden itu berlaku
depan mata ibunya sendiri.
Dalam kejadian itu, Nurul Amin
Muhamed Ishak, 22, seorang buruh kasar, mati serta-merta di
tempat kejadian di Jalan Sentosa di sini akibat pendarahan pada leher setelah
dikelar dengan pisau.
Menurut ibunya, Saemah Mogeri, 43,
sebelum peristiwa berdarah itu berlaku, mangsa yang mesra dipanggil Abang mahu
membawa dia bersemuka dengan dua sahabat baiknya untuk mendapatkan penjelasan
berhubung insiden rumah mereka dipecah masuk minggu lalu.
“Dua sahabat baik Abang ceroboh
rumah kami Selasa minggu lepas dan cuba mencabul kehormatan saya dan adik
perempuannya. Disebabkan itu, Abang marah dan mahu bersemuka dengan mereka demi
mempertahankan maruah kami.
“Abang berjanji bertemu dengan
mereka di Kompleks Sukan Jabatan Kerja Raya (JKR) berdekatan dengan rumah jam
8.30 malam. Disebabkan jarak rumah kami dengan kompleks itu hanya 150 meter,
arwah ajak saya pergi bersamanya,” katanya.
Saemah berkata, apabila dua sahabat
baik anaknya tiba di lokasi yang dijanjikan dengan menaiki motor, Abang segera
meminta penjelasan mengapa mereka tergamak melakukan perkara tersebut kepada
keluarganya.
“Ketika arwah sedang bercakap,
secara tiba-tiba salah seorang sahabat baiknya itu pergi ke motosikal lantas
mengambil pisau sebelum meluru mengelar leher arwah dari depan.
“Kejadian berlaku terlalu pantas.
Saya tergamam dan mampu menjerit nama Abang. Ketika itu darah membuak-buak
keluar daripada leher arwah.
“Saya hampir pitam melihat kejadian
tidak diduga itu, namun masih sempat mendakap mangsa yang kemudian terkulai
layu. Pakaian saya habis dibasahi darah arwah,” katanya.
Menurut Saemah, akibat panik, dua
sahabat anaknya itu terus melarikan diri, manakala beberapa pemuda yang berada
di dalam kompleks sukan berkenaan bergegas keluar sejurus mendengar jeritannya
dan segera memanggil polis serta ambulans.
Sementara itu, Ketua Polis Kluang,
Asisten Komisioner Abdul Majid Mohd Ali ketika dihubungi berkata, pihaknya
hanya akan memberi kenyataan rasmi dalam sidang media, hari ini.
Comments
Post a Comment