Lelaki mati dibunuh dicampak di tempat pelupusan sampah


IPOH – Seorang lelaki yang dipercayai menjadi mangsa pukul maut dalam perjalanan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) selepas ditemui seorang lelaki di tapak pelupusan sampah di Bercham, Isnin lalu.

Ketika kejadian pada jam 8.50 malam itu, mangsa dikenali sebagai Sulaiman Aliah, 21, di bawa ke wad kecemasan oleh lelaki berkenaan sebelum pihak hospital memintanya membuat laporan polis berhubung penemuannya itu.

Bagaimanapun, tiada laporan polis dibuat lelaki berkenaan sebelum doktor memaklumkan tentang kematian mangsa di pondok polis hospital.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, hasil pemeriksaan, terdapat kesan lebam pada seluruh badan dan kematian dikatakan berpunca daripada kecederaan serius akibat penggunaan senjata tumpul.

“Tiada sebarang pengenalan diri ditemui bersama mangsa menyebabkan cap jari mangsa diambil untuk mengenal pasti identitinya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, semalam.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) di hospital, polis menemui petunjuk sebelum berjaya menahan tujuh suspek berusia antara 18 tahun hingga 49 tahun yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu di empat kawasan berasingan sekitar Bercham.

“Tiga lelaki ditahan di hadapan Balai Polis Bercham, dua lelaki ditahan di Pusat Bandar Baru Bercham dan masing-masing seorang di sebuah rumah di Kawasan Persiaran Bercham Utara dan Taman Pakatan.

“Kesemua mereka direman selama tujuh hari sehingga 24 Mei ini untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Azisman berkata, polis berjaya merampas beberapa barangan milik mangsa dan senjata yang disyaki digunakan dalam kejadian itu.

“Antara barang yang dirampas adalah pakaian mangsa iaitu seluar pendek, tiga helai baju, dua batang paip, kaki meja dan papan meja yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu,” katanya.

Comments