GEORGETOWN, January 26, 2012: Hampir sejam diperlukan untuk memujuk
seorang lelaki yang tidak mahu melepaskan pelukan terhadap teman
wanitanya yang sudah meninggal dunia selepas ditemui di tingkat bawah
satu blok flat di Taman Utara, Batu Uban, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 1 pagi itu, lelaki terbabit tidak dapat menerima
hakikat teman wanitanya, Lau Kah Kah, 22, maut selepas terjun dari
tingkat 17 flat berkenaan.
Lelaki terbabit dilihat meniarap di sisi mayat teman wanitanya sambil
memeluknya, tetapi langsung tidak bersuara dan hanya sesekali kelihatan
menangis.
Orang ramai yang mengerumuni tempat kejadian pada mulanya
menyangkakan ada dua mayat di situ, tetapi terkejut apabila melihat
lelaki berkenaan tiba-tiba bergerak.
Lelaki itu langsung tidak mempedulikan orang ramai yang
mengerumuninya dan dia terus memeluk erat mayat teman wanitanya sebelum
penduduk menghubungi ambulans.
Comments
Post a Comment