SHAH ALAM - Polis menemui beberapa petunjuk termasuk
penemuan barang kemas bernilai RM100,000 yang dipercayai dapat
menyelesaikan kes pembunuhan dua beranak di Puchong Ahad lepas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman,
Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata penemuan turut berupa kenderaan
milik mangsa, telefon bimbit serta maklumat spesifik yang diperolehi
daripada orang ramai.
“Polis sedang mengumpul semua bukti dari segala sudut penyiasatan kes
yang dipercayai bermotifkan masalah peribadi antara mangsa dengan
seorang daripada suspek.
“Sehingga hari ini, polis telah menahan enam suspek di mana seorang
daripadanya dipercayai mempunyai hubungan dengan seorang mangsa iaitu si
anak.
“Kesemua mereka ditahan secara berasingan di Ampang dan Cheras. Dua
daripada mereka ditahan pada 12 Mac dan empat lagi semalam,” katanya
dalam sidang media di sini Jumaat.
Mohd Bakri berkata kesemua yang ditahan itu berumur antara 19 dan 23
tahun yang merupakan pelajar kolej swasta di tempat mangsa mengajar.
Pembunuhan itu berlaku pada 11 Mac lalu dengan mayat pensyarah
tersebut, Zara Eleena, 23, dan bapanya Omar Peter Abdullah, 56, ditemui
mati di rumah mereka di Taman Kinrara.
Zara Eleena ditemui mati di atas lantai di dalam sebuah bilik
manakala bapanya ditemui terlentang di atas katil di dalam bilik utama
rumah teres setingkat itu.
Semua suspek kini ditahan reman sehingga 22 Mac ini. - BERNAMA
Comments
Post a Comment