PETALING JAYA: Penyanyi Yunalis Zarai atau Yuna menerima
musibah dengan reda apabila keretanya dipecah masuk sehingga kerugian
RM5,000 pada pagi Khamis.
Pengurus penyanyi tersebut iaitu Nor Zaina Wardah (Wawa), 26, yang dihubungi mStar Online berkata, kejadian itu bukan perbuatan khianat pihak tertentu selain menganggap ia mungkin secara kebetulan.
“Yuna reda dengan kejadian itu. Ia mungkin kebetulan dan kami tidak
syak ia perbuatan khianat,” kata Wawa kepada mStar Online ketika
dihubungi di sini, Jumaaat.
Dalam perkembangan berkaitan Wawa berkata Yuna enggan memberi
sebarang kenyataan susulan dan butiran lanjut mengenai kejadian itu demi
keselamatan.
Ia disebabkan pihaknya bimbang pendedahan melalui media boleh
menyebabkan keselamatan mereka terganggu selain bimbang kereta dipandu
Yuna dikenali oleh orang ramai.
“Saya minta maaf kerana Yuna sedang sibuk dengan penggambaran pada
waktu ini dan dia tidak mahu memberikan sebarang komen mengenai kejadian
itu atas dasar keselamatan.
“Memang ramai media yang menghubungi untuk mendapatkan kenyataan
tetapi Yuna tidak bimbang lebih banyak maklumat mengenai kereta
didedahkan, ia akan diketahui umum.
“Cuma, apa yang buat Yuna terkilan adalah kehilangan radio keretanya
dan gitar milik Diandra Arjunaidi yang dipinjamnya itu,” jelasnya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi Khamis, kereta Mitsubishi ASX
milik penyanyi itu dilaporkan dipecah masuk di Subang Jaya, dekat sini.
Ia dipercayai dipandu seorang rakan yang juga pemain gitar kumpulan
muziknya iaitu Farhan Fazlishah (Pa’an) sebelum dibawa pulang ke rumah
gitaris itu di USJ6/6N, Subang Jaya.
Difahamkan juga, kejadian itu mengakibatkan Yuna kerugian sebanyak
RM5,000 apabila radio kereta Yuna dan gitar artis barunya Diandra
Arjunaidi yang dipinjam penyanyi baru itu turut dicuri.
Comments
Post a Comment