Kelantan juara Piala FA tahun ini


KUALA LUMPUR- Setelah sekian lama mendambakan piala yang belum lagi mereka miliki ini, Kelantan akhirnya tersenyum lega setelah menewaskan Sime Darby dengan agregat 1-0 untuk menjulang Piala FA buat kali pertama.

Sebelum ini, Kelantan telah beberapa kali mara ke final, namun langkah mereka selalu sumbang ketika perlawanan penentuan.

Pemain import mereka, Ghaddar diangkat menjadi wira pada malam itu setelah sepakan penaltinya pada minit ke-51 berjaya mengelirukan penjaga gol Sime Darby, sekaligus membuahkan mata kemenangan buat Kelantan.

Babak-babak pada masa pertama berlalu dengan hambar apabila kedua-dua pihak dilihat terlalu berhati-hati dan lebih bersifat bertahan yang berakhir dengan 0-0.

Bagaimanapun, permainan mula rancak pada masa kedua, apabila kedua-dua kumpulan mula mengorak langkah mencari mata untuk pasukan masing-masing. Kedua-dua pihak dilihat konsisten dan agak menyerlah, sehinggalah sepakan penalti diberikan kepada Kelantan apabila seorang pemain importnya dikasari di petak penalti.

Permainan makin agresif setelah gol pertama diperolehi apabila Sime Darby dilihat sedaya upaya cuba mencari mata penyamaan dan Kelantan cuba bertahan menyebabkan beberapa insiden yang melibatkan kad kuning dan kecederaan kepada kedua-dua pasukan.

Ketika disaat-saat akhir permainan, corak permainan Kelantan dikritik apabila ada pemainnya bertindak melengah-lengahkan masa dan menyebabkan kad kuning terpaksa dikeluarkan oleh pengadil.

Corak permainan pasukan Sime Darby pada empat minit terakhir dilihat kurang menyerlah apabila pemainnya dilihat seakan-akan sudah menyerah kalah.

Bagaimanapun, usaha keras mereka mempertahankan benteng pasukan dan semangat pasukan yang tinggi wajar dipuji. Mereka bertindak cemerlang dalam tektikal dengan tidak memberikan banyak peluang kepada Kelantan untuk membolosi pertahanan, serta bertindak diluar jangkaan dengan beberapa percubaan gol yang merbahaya.

Permainan ini bagaimanapun dianggap  kurang “menyengat” jika dibandingkan dengan permainan besar  yang berlangsung sebelum ini. Antara faktor yang disebut menjadi penyebab, ialah keadaan padang yang teruk dan stamina pemain yang kebanyakannya keletihan.

Kejayaan kali ini disambut dengan sorakan berpuluh ribu penyokong Kelantan yang membanjiri Stadium Bukit Jalil, dan jutaan rakyat Kelantan yang menonton dari siaran langsung di kaca televisyen. Antara yang turut sama bergembira disebalik ribuan penyokong Kelantan yang ada di stadium ialah Tan Sri Anuar Musa, 
Timbalan Presiden Bolasepak Malaysia merangkap Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan yang digantung tugasannya selama dua tahun kerana komennya  tentang prestasi bolasepak negara.

Comments