Jason Mraz gegar Stadium Merdeka 19 Jun ini!


Album terbaru Jason Mraz yang berjudul Love is a Four Letter Word berjaya menduduki tangga kedua dalam SoundScan Billboard 200 dengan jualan melebihi 100,000 unit.

Malah, album pemenang Grammy Award ini juga mencatatkan jualan terbesar dalam masa seminggu dan tertinggi sejak dilancarkan sehingga hari ini.


Lebih manis lagi, single popularnya daripada album tersebut, I Won’t Give Up turut menerima status platinum baru-baru ini dengan jualan melebihi satu juta.

Penyanyi rakaman Atlantic Records ini juga bakal meraikan kejayaannya itu dengan muncul secara langsung di VH1 Storytellers bersama peminat-peminatnya di New York City, dan bakal ditayangkan pada 1 Jun ini.

Berikutan sambutan yang cukup hangat untuk albumnya itu, para pelakon Glee juga bakal mempersembahkan versi istimewa lagu I Won’t Give Up untuk disiarkan dalam siri rancangan popular itu pada 15 Mei ini.

Selain itu, Mraz sendiri bakal turun padang untuk memulakan konsert jelajah pada awal Jun ini bagi mempromosikan albumnya itu di negara-negara sekitar Asia termasuk Korea Selatan, Thailand, Indonesia, Hong Kong, Taiwan, Singapura dan Malaysia.

Menurut jadual persembahan yang tercatat di laman web rasmi penyanyi ini, dia bakal menghangatkan Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 19 Jun nanti.

Selain Mraz, rakan di bawah syarikat rakaman yang sama juga, Christina Perri bakal turut serta dalam konsert jelajah itu.

Comments