Jangan salahgunakan laman sosial


Ha, yang ni YTT setuju. Selain laman social, blog dengan website pon jangan disalahgunakan. Tak elok jatuhkan orang lain. Jauhkan diri dari hasad dengki! Maklumat yang ada, sampaikan yang betul sahaja. Kalau tak sah, jangan pandai-pandai sebarkan. Buat dosa je.

Jangan salah guna laman sosial

MELAKA 29 Mei - Pengendali laman sosial seperti Facebook dan Twitter diminta lebih bertanggungjawab dalam menyampaikan maklumat tepat dan bukan merosakkan nilai-nilai kemanusiaan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, peranan mereka amat penting dalam membimbing pemikiran orang ramai dan tidak menyalahgunakan laman sosial tersebut untuk menyebarkan maklumat tidak benar.

"Pengamal media sosial terutama penulis blog diharap dapat membantu kerajaan dalam menyebarkan maklumat tepat kepada rakyat terutama generasi muda.

''Lebih penting jangan sebar maklumat boleh mencetuskan rasa tidak puas hati rakyat terhadap kerajaan" katanya berucap kepada 350 pelajar Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (KAYM) pada Program Sesi Kopi Tarik Bersama Ketua Menteri di kampus induk Bukir Sebukor, baru-baru ini.

Program anjuran KAYM itu mendapat kerjasama Bahagian Perkhidmatan Teknologi Maklumat (BPTM), Jabatan Ketua Menteri.

Turut hadir, Ketua Eksekutif KAYM, Datuk Saroni Judi, Pengarah Bahagian Perkhidmatan Teknologi Maklumat (BPTM) Jabatan Ketua Menteri, Dr. Mohamed Sulaiman Sultan Suhaibudden, Pengurus Unit Siber, Danny Yin Yew Kuan dan Pendaftar KAYM, Aminalrashid Hussain.

Sehubungan itu, Mohd. Ali mahu setiap pengendali laman sosial tersebut memiliki tanggungjawab dan cakna dalam sajian berita, isu serta idea.

Program tersebut turut dimeriahkan lagi dengan sesi soal jawab bersama Ketua Menteri dengan beberapa pelajar KAYM yang memberi cadangan mahupun pendapat mengenai keperluan pengguna Melaka, aktiviti yang akan dianjurkan institusi pengajian tinggi dan kemudahan diperlukan pelajar.

Bagi pelajar KAYM, peluang bersama Ketua Menteri itu amat bermakna selain bertujuan membina, membantu dan memupuk minat pelajar dalam memberi sumbangan idea dan fikiran dalam merealisasikan hasrat kerajaan negeri ke arah mencapai tahap lebih gemilang dan terbilang.

Comments