HANEZ: Watak jahat rezeki saya

KEBANYAKAN pelakon baru bimbang membawa watak jahat kerana risau dengan tanggapan penonton. Namun bagi bintang yang kini mencipta nama, Hanez Suraya Abd Aziz, 27, menjayakan watak antagonis membawa namanya pergi jauh dalam industri seni tempatan.

Mencuba nasib lebih lapan tahun dalam dunia lakonan, Hanez yang ditemui pada sesi fotografi khas bersama Selebriti Metro Ahad baru-baru ini mengakui, kebanyakan watak jahat yang dijayakan membuatkan kehadirannya dalam industri seni diberi perhatian.

Katanya, impak diterima sangat memberangsangkan kerana watak jahat lebih mudah diingati penonton, sekali gus memberi kelebihan untuk seseorang pelakon itu lebih dikenali.

“Syukur kerana sekarang ini tawaran untuk saya berlakon lebih banyak. Semuanya gara-gara watak jahat yang saya lakonkan dalam Bunga April dan Ariana Mikhail hinggakan saya tidak menang tangan memenuhi tawaran yang datang.

“Sebagai contoh, sekarang saya sibuk menghabiskan penggambaran drama bersiri Suri yang bakal disiarkan di TV3, kemudian terbang ke Paris, Perancis bagi menghabiskan penggambaran drama bersiri, Dalam Hati Ada Taman untuk Astro Ria, Julai depan,” katanya.

Menurut Hanez, selain membuka rezeki, watak jahat diberikan turut memberi ruang lebih 
luas untuknya mengembangkan bakat.

Kini kebanyakan produksi mula meletak kepercayaan kepadanya untuk memegang peranan utama berbanding sebelum ini hanya menjadi pelakon pembantu dalam kebanyakan drama dibintangi.

“Kalau diikutkan, watak antagonis hanya menjadi penggerak kepada watak utama dalam menghidupkan jalan cerita. Walaupun begitu, kerana watak jahat, saya lebih diingati ramai.

“Selepas diuji dan yakin dengan kemampuan saya, sekarang kebanyakan produksi memberi peluang kepada saya melakonkan watak utama. Bukan itu saja, watak utama terbabit berbeza dengan watak antagonis yang sering saya bawakan sebelum ini, sekali gus memberi peluang untuk penonton melihat bakat lakonan saya dalam sisi berbeza,” katanya.

Comments