Glenn Alinski, jejaka kacak sinetron


Nama Glenn Alinskie, mungkin tidak sepopular Dude Harlino atau Randy Pangalila dalam dunia sinetron Indonesia. Namun, jika anda peminat setia sinetron Upik Abu dan Laura atau Intan, pasti perasan akan kehadiran jejaka berdarah campuran Thailand, Cina dan Indonesia ini.

Seperti kebanyakan pelakon sinetron lain, penglibatan Glenn dalam dunia sinetron hanya sebagai watak pembantu. Bagaimanapun, kerana lakonan yang berkesan, Glenn bukan sahaja menjadi perhatian peminat, malah penerbit dan pengarah.

“Sejak dari kecil, saya amat meminati bidang lakonan dan sehingga kini saya tidak pernah menyangka impian itu telah tercapai.

“Peluang yang datang tidak pernah saya sia-siakan malah, saya terus bekerja keras untuk memastikan karier ini memberi kepuasan buat diri saya dan peminat,” katanya.

Mula mencipta nama dalam dunia lakonan dengan membintangi sinetron pertama berjudul Pangeran Penggoda pada 2006 yang seakan menjadi platform buat dirinya untuk terus mengembangkan bakat lakonan.

Namun nama Glenn menjadi sebutan apabila lakonan menerusi drama ‘Buku Harian Nayla’ yang turut dibintangi kekasihnya, Chelsea Olivia berjaya menambat hati penonton sekali gus memberi kejayaan kepada sinetron itu.

“Walaupun sudah banyak berlakon, tetapi saya akui masih banyak lagi yang perlu diperbaiki untuk menjadi seorang pelakon disegani.

“Selagi termampu, saya akan berikan yang terbaik untuk karier ini kerana saya amat mencintainya dan tidak mahu mensia-siakan sokongan dan galakan daripada peminat yang menghargai bakat saya,” katanya.

 Luang masa bersama kekasih

Walaupun sibuk menjalani aktiviti lakonan, Glenn tidak pernah mengabaikan kehidupan peribadinya yang sedang hangat dilamun cinta bersama gadis pilihannya.

“Sesibuk mana pun, saya akan curi sedikit masa pada hujung minggu untuk bertemu Chelsea. Kami berasal dari industri yang sama oleh itu, kami saling memahami situasi masing-masing yang sentiasa terikat dengan jadual lakonan.

“Saya gembira bersamanya dan mengharapkan peminat dapat mendoakan yang terbaik untuk hubungan kami terus berkekalan,” katanya.

Apabila ditanya, lokasi dan aktiviti yang sering dikunjungi bersama pada hujung minggu, Glenn mengatakan mereka sama seperti pasangan kekasih yang lain.

“Ia bergantung kepada ‘mood’ kami. Kadangkala kami akan menonton wayang dan bersiar-siar di pusat membeli belah, sama seperti pasangan lain,” katanya.

Comments