Gadis tertekan cuba terjun KB Mall

KOTA BHARU 24 Mac _ Pengunjung pusat beli-belah KB Mall di sini, digemparkan dengan tindakan nekad seorang gadis berusia 20 tahun yang cuba terjun daripada tingkat tiga bangunan tersebut petang ini, dipercayai akibat tekanan masalah keluarga dan percintaan.

Sebelum itu, gadis yang tinggal di Kampung Gaung dekat sini, telah menarik perhatian orang ramai selepas memanjat tembok dan berdiri di birai bangunan berkenaan sambil memegang sebilah pisau dan telefon bimbit.

Sepasukan anggota bomba yang tiba di kawasan itu kira-kira pukul 3.54 petang, cuba memujuknya hampir sejam tetapi gagal, malah dia enggan untuk berkomunikasi.

Ketua Operasi Balai Bomba Kota Bharu, Shahrin Yusman Mat Yusof berkata, operasi menyelamat agak sukar kerana dia turut membawa sebilah pisau sambil mengacu pisau ke leher untuk menikam dirinya sendiri.

"Selepas gagal memujuk, kita memulakan operasi menyelamat, anggota kita, Mohd. Zaki Ismail berjaya menangkap gadis itu tetapi dia meronta-ronta untuk terjun sehingga terlepas daripada gengaman dan terjatuh.

"Tetapi dia bernasib baik kerana jatuh di atas tilam yang diletakkan oleh anggota kita, pengawal keselamatan KB Mall dan orang ramai," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, hari ini.

Gadis yang bekerja di sebuah pusat beli-belah di Wakaf Che Yeh itu dikatakan hanya mengalami kecederaan di muka kerana bergesel dengan dinding bangunan dan dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPB II) untuk rawatan.

Pada 6 Disember 2009, pengunjung pusat membeli-belah berkenaan digemparkan dengan insiden sebuah kereta terjunam dari aras atas tempat letak kereta hilang menyebabkan dua sahabat maut manakala dua lagi parah.

Sementara itu, bapa saudara gadis tersebut, Ahmad Nizam Awang, 43, berkata, pihaknya tidak mengetahui punca kejadian tersebut tetapi mengakui anak saudaranya itu mempunyai hubungan yang dingin dengan ibunya.

"Ayahnya meninggal dunia sejak dia bayi lagi dan hanya tinggal dengan neneknya. Pada masa itu, ibunya tinggal di Melaka dan baru kembali semula ke negeri ini.

"Dia anak tunggal dan hanya mempunyai adik-beradik tiri, baru-baru ini dia ada masalah dengan ibunya. Disebabkan itu, dia tinggal bersama ibu saudaranya selama sebulan sebelum kembali semula ke rumahnya tetapi saya tidak boleh menolak kemungkinan dia menghadapi masalah percintaan," katanya.

-utusan-

Comments