Firefly perkenal sistem bayaran perubahan tarikh prabayar

KUALA LUMPUR - Penumpang Firefly yang memilih untuk menukar tarikh atau masa penerbangan mereka setelah membayar bagi tempahan tempat duduk kini boleh berbuat demikian melalui Fi Perubahan Prabayar.

Produk baharu yang diperkenalkan hari ini oleh syarikat penerbangan itu, menawarkan penjimatan kepada pelanggannya.

Dalam satu kenyataan, syarikat penerbangan komuniti itu berkata Fi Perubahan Prabayar yang dikenakan ialah RM40 bagi perubahan penerbangan laluan domestik dan RM50 bagi penerbangan antarabangsa, dan hanya boleh dibeli melalui laman sesawang syarikat itu semasa membuat tempahan penerbangan.

Ia berkata tanpa membeli Fi Perubahan Prabayar ini, penumpang-penumpang perlu membayar RM70 bagi perubahan tarikh atau masa penerbangan bagi laluan
domestik dan RM100 bagi laluan antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ignatius MC Ong, berkata :"Kami faham perkara di luar jangkaan mungkin berlaku, dan menyebabkan penumpang ingin menukar tarikh atau masa penerbangan.

"Kami menjangkakan kebanyakan pembelian fi ini dibuat oleh penumpang perniagaan kerana segmen ini berkemungkinan besar menukar rancangan perjalanan
sekiranya mesyuarat diubah tarikh atau dibatalkan," katanya.

Kata beliau penumpang yang memilih untuk menggunakan pilihan menukar tarikh atau masa, perlu menghubungi Pusat Panggilan Firefly di talian +6 03 7845 4543
untuk berbuat demikian.

Ini mestilah dilakukan sekurang-kurangnya 48 jam sebelum penerbangan dijadualkan berlepas.

Ong juga berkata mereka mungkin perlu membayar perbezaan harga tambang, jika kos penerbangan baharu itu lebih tinggi. - Bernama

Comments