Elfira Loy, si kecil manis 18

Nama Elfira Loy mungkin boleh dianggap sebagai baru di dalam industri hiburan tanah air. Namun, perjalanannya bergelar pelakon sudah mula dilalui sejak usia 13 tahun lagi dengan menyertai teater.

Jika dahulu gadis kecil molek ini banyak membintangi drama kisah budak sekolah, kini seiring dengan peningkatan usianya sebagai gadis remaja, Elfira Loy sudah mula mendapat perhatian pengarah dan penerbit untuk membintangi drama dan filem berkisar percintaan remaja.

Bermula dengan pelawaan berlakon di samping aktor remaja terkenal dari seberang, Randy Pangalila untuk drama Biar Mimpi Sampai ke Bintang, kini kerjaya lakonan pemilik nama sebenar Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri ini semakin berkembang.

Tambahan pula, di saat usianya baru 17 tahun, Elfira sudah pun melakarkan kejayaan peribadi apabila menerima anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama menerusi 
drama Kum Kum di Anugerah Skrin 2011 tahun lalu.

Sedikit demi sedikit kejayaan yang diraih, anak kacukan Melayu, Cina dan Arab ini juga 
sudah bergelar jurucakap untuk jenama solekan terkenal antarabangsa, Maybelline New York.
 
Serasi bersama Randy Pangalila

Menyentuh mengenai perkembangan kerjayanya, Elfira sekali lagi bakal digandingkan bersama Randy Pangalila untuk drama siri baru yang bakal disiarkan di Astro berjudul Dalam Hati Ada Taman.

Menariknya, beberapa babak daripada drama yang akan mula menemui penonton pada Oktober ini menjalani penggambaran di Paris.

Elfira yang sudah berangkat ke negara barat itu pada Khamis lalu berkata, kali kedua berganding dengan Randy sudah mencipta keserasian buat kedua-duanya.

“Jika sebelum ini kami pernah berganding dalam drama Biar Mimpi Sampai ke Bintang, namun drama kedua ini kami masing-masing semakin serasi dengan watak baru yang diberikan.

“Malah, drama sebelum ini kami berdua banyak bergantung kepada skrip tetapi kali ini adalah lebih kepada spontan dan tercipta keserasian antara kami,” katanya yang memegang watak sebagai Bella, gadis remaja yang bekerja di Paris.


Comments