Drama 14 jam berakhir

SIBU: Selepas hampir 14 jam bersabar dan cuba berunding dengan seorang lelaki bersenjata pisau menahan anaknya sendiri berusia tiga tahun serta ibunya sebagai tebusan di sebuah rumah di Jalan Sui Ting, Sungai Teku, di sini, polis terpaksa melepaskan tembakan menggunakan pistol renjatan (taser) terhadap lelaki berkenaan bagi menyelamatkan kanak-kanak serta wanita berkenaan, semalam.

Drama tebusan bermula jam 7 malam kelmarin dan berakhir 9 pagi semalam, bermula apabila suspek berusia 28 tahun dikatakan baru dua hari dibebaskan dari penjara, bertindak memegang anak lelakinya serta mengarahkan ibunya tidak keluar rumah selepas bertengkar dengan wanita berkenaan.

Difahamkan, suspek bersenjatakan pisau pemotong sayur, sebelum itu turut mengugut ibunya mematuhi arahannya sekiranya tidak mahu dia kehilangan nyawa. Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Shafiee Ismail, berkata ibu suspek cuba mententeramkan keadaan namun gagal sehingga memaksa seorang ahli keluarga menghubungi polis.

Beliau berkata, usaha ahli keluarga memujuk suspek berlarutan sehingga jam 1 pagi namun tiada tanda positif krisis itu boleh diselesaikan dengan baik menyebabkan adik wanita berkenaan menghubungi polis.

“Sepasukan anggota tiba di rumah suspek, cuba memujuk lelaki itu tetapi gagal malah suspek bertindak lebih agresif dengan meletakkan pisau pada leher anaknya sambil menjerit supaya anggota kami meninggalkan rumahnya.

“Proses memujuk berlarutan sehingga jam 9 pagi tadi (semalam) sebelum polis mengambil keputusan melepaskan tembakan selepas suspek tidak menunjukkan sebarang perubahan walaupun sudah beberapa kali diarah menyerah diri dan membebaskan tebusan.

Comments