Salah seorang pelampau Hindu atau
lebih tepat, dalang untuk meruntuh dan memusnahkan Masjid itu merupakan
seorang pemuda yang bernama Shive Prasad berasal dari Faisabad, iaitu
daerah di mana terletaknya masjid itu.
Prasad
ialah ketua sebuah parti politik Bajrang Dal yang diberi kepercayaan
dan tanggungjawab ‘suci’ untuk mengetuai hampir 4,000 penduduk
kampungnya, Kar Sevak bagi memastikan masjid itu akhirnya runtuh.
Tindakan melampau untuk
meruntuhkan masjid purba itu telah dirancang dengan baik oleh Prasad.
Beliau memberi arahan dan latihan yang secukupnya kepada para
pengikutnya seramai 4,000 orang itu bagi memastikan rancangan itu
berjaya.
Satu tindakan yang melanggar undang-undang apatah lagi menghormati perasaan penduduk Islam yang lain.Sedangkan
masjid itu merupakan salah sebuah masjid terbesar di negeri Uttar
Preadesh, utara India dengan bilangan umat Islamnya seramai 31 juta
orang.
Pada hari kejadian itu, Prasad
tidak sahaja menceroboh masuk malah berjaya memanjat kubah besar masjid
dan bersama pengikut-pengikut yang lain mereka berjaya menawan masjid
itu. Kemudian bersorak gembira apabila mereka akhirnya berjaya
meruntuhkan kubah dan keseluruhan masjid tersebut.Mereka
melaung-laungkan perkataan “Ram! Ram!” sebagai tanda kemenangan
kononnya masjid itu akhirnya berjaya jatuh ke tangan pelampau Hindu.
Prasad
puas hati kerana berjaya mengembalikan hak penganut Hindu yang kononnya
masjid Babri itu dibina atas tapak kuil, yang dibina bagi memperingati
tempat kelahiran tuhan mereka yang bernama Rama.
Namun tujuh tahun selepas
kejadian itu, pada tarikh yang sama kejadian runtuhan Masjid Babri itu,
Prasad akhirnya sujud memohon ampun kepada Allah atas ‘kejahatan’ beliau
terhadap Masjid Babri itu. Malah beliau berpuasa dan menyesali sehingga
mengalir air mata memohon Allah mengampuninya yang tergamak meruntuhkan
rumah ibadat itu.
Kuasa Allah
Ya, pada tarikh 6 Disember 1999 itu, dengan kuasa Allah, Prasad memeluk Islam dan menukar namanya kepada Mohammed Mustafa.
Berita pengislaman pemuda itu
disiarkan oleh Malayalam News keesokan harinya iaitu pada 7 Disember
1999 yang kemudiannya dipetik oleh Arab News Publications di Arab Saudi.
Berita itu amat mengejutkan
apabila melihat sendiri latar belakang Prasad, terutama bapanya, Trigal
Ramanathan merupakan Ketua Puak Sangh Parivar di mana seluruh puak itu
terbabit secara aktif dalam usaha meruntuhkan Masjid Babri.
Menurut pemuda ini, sejak
kejadian runtuhan masjid itu, Prasad dihantui perasaan bersalah sehingga
begitu menekan jiwanya. Walaupun pada tangannya masjid itu akhirnya
runtuh, namun ia tidak menjanjikan kedamaian berikutan beliau merasakan
telah melakukan satu dosa yang amat besar.
Mungkin dengan keluar dari
India, Prasad mengharap beliau tidak lagi diburu oleh perasaan bersalah
itu. Lalu beliau mencari pekerjaan di Sharjah salah sebuah negara
anggota Emiriah Arab Bersatu (UAE).Namun fikirannya masih tidak tenang walaupun beliau menyibukkan diri dengan pekerjaan dan suasana yang baru di negara itu.
Sehinggalah pada 4 Disember
tahun 1998, pada hari itu beliau berjalan seorang diri di sebatang jalan
di bandar Sharjah. Secara tiba-tiba beliau terdengar suara khatib dari
sebuah masjid berhampiran. Menariknya, khutbah itu disampaikan dalam
bahasa Urdu dan beliau dapat mengikuti khutbah itu dengan jelas.
Prasad
berhenti untuk mendengar khutbah itu dan alangkah terkejutnya pemuda
ini apabila sang khatib menyebutkan bahawa Allah Yang Maha Berkuasa atas
segala sesuatu, mampu mengubahkan hati-hati yang tidak mempercayai
kewujudan-Nya selama ini.
Sejurus mendengar khutbah itu
sehingga akhir, semacam satu perasaan yang tenang menyelinap masuk ke
hatinya. Malah seolah-olah telah tercabut satu beban besar yang selama
ini menyebabkan fikirannya menjadi begitu serabut.
Segala
puji-pujian terhadap Allah yang akhirnya telah memberi hidayah dan
membukakan hatinya walaupun dirinya telah melakukan kesalahan yang
lazimnya sukar untuk diterima apatah lagi dapat dimaafkan.
Namun berita Prasad memeluk
Islam itu tidak sahaja menimbulkan kemarahan keluarga. Malah akibat
tidak dapat menanggung malu, Prasad akhirnya dibuang oleh keluarganya
sendiri. Beliau tidak dibenarkan pulang semula ke India, kalaupun dia
pulang juga maka nyawanya akan terancam.
Berita pengislaman Prasad itu
juga menyebabkan parti-parti politik dan pelbagai pertubuhan Hindu yang
menyokong tindakan beliau beliau meruntuhkan Masjid Babri turut marah
dan mengancam untuk membunuhnya tanpa mengira masa dan tempat.
Namun apa pun ancamannya Prasad
tetap teguhkan imannya terhadap Islam. Islam menjadikan beliau seorang
manusia ‘baru’ yang dahagakan kebenaran sehinggakan dalam tempoh yang
masih baru mengenal Islam beliau berjaya menghabiskan bacaan dan
mempelajari 17 surah dalam al-Quran. Malah beliau bersungguh-sungguh
untuk khatam kitab suci itu.
Cita-citanya kini adalah untuk berkongsi kebenaran mengenai Islam dengan orang lain termasuk ahli-ahli keluarganya sendiri.
“Kalau itu diizinkan Allah, bukan soal dosa saya akhirnya tertebus sudah.
“Tetapi
sekurang-kurangnya itulah sumbangan saya terhadap Islam di samping
perbuatan saya itu juga telah melukakan hati jutaan umat Islam dan saya
mahukan mereka juga memaafkan saya dengan sekurang-kurangnya saya
membina semula apa yang telah saya runtuhkan,” ujarnya sayu.
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
dipetik dari Utusan Online
Comments
Post a Comment