WUHAN - Perseorangan nombor satu
negara Datuk Lee Chong Wei menarik diri daripada kejohanan Piala Thomas setelah
cedera di buku lali kanan ketika beraksi pada perlawanan peringkat kumpulan C
di sini hari ini.
Chong Wei yang sedang mendahului 2-0
dalam set pertama menentang perseorangan Denmark Peter Hoeg Gade, terseliuh
ketika cuba menyambut pukulan lawannya di bahagian belakang gelanggang.
Chong Wei menerima rawatan awal di
gelanggang daripada pasukan perubatan sebelum memutuskan untuk menarik diri.
Beliau kemudian dibawa keluar dari
Pusat Sukan Gimnasium Wuhan menggunakan kerusi roda sebelum dilihat
meninggalkan perkarangan venue perlawanan dengan ambulans.
Jurulatih kebangsaan Rashid Sidek
berkata buat masa ini beliau tidak mengetahui sejauh mana keadaan kecederaan
pemain itu dan Chong Wei mungkin perlu menjalani 'x-ray' di pusat perubatan di
sini.
"Kita terpaksa rehatkan dia
sebab kena fikirkan persediaan Olimpik. Masih ada tiga bulan untuk Olimpik,
jadi harap dia akan sembuh secepat mungkin," katanya kepada wartawan
Malaysia yang membuat liputan kejohanan Piala Thomas itu.
Beliau turut mempertahan keputusan
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyenaraikan pemain nombor satu dunia itu
pada kejohanan kali ini, meskipun ada pihak yang mencadangkan supaya pemain itu
dikecualikan bagi mengelak kecederaan.
"Kecederaan begini terjadi
tanpa kawalan kita sebab pemain kadang-kala tidak dapat mengawal pergerakan
mereka.
"Lagipun kejohanan ini adalah
sebahagian daripada persediaan Chong Wei untuk Olimpik," katanya.
Sementara itu, Gade yang ditemui
selepas perlawanan, berkata beliau memahami serta bersimpati dengan kecederaan
yang dialami Chong Wei.
"Saya tahu apa yang bermain di
fikiran beliau sekarang, dengan Olimpik semakin hampir. Saya harap dia cepat
sembuh dan bersedia untuk Olimpik," katanya.- Bernama
Comments
Post a Comment