Bukti dijumpai

KUANTAN - Saksi pendakwaan memberitahu mahkamah, Asni Omar, 37, yang dituduh membunuh Stephanie Foray, 30, (gambar kecil) mencari dan menjumpai sendiri botol arak jenama Malibuyang dijadikan senjata untuk mencederakan mangsa ketika tertuduh dibawa oleh polis ke tapak pelupusan sampah Sarang Tiong di Rompin dekat sini.

Perkara tersebut diberitahu saksi kedua pendakwaan, Lans Korporal Jef Anashrul Mohd. Jaafar ketika dia disoal peguam bela Hisham Abd. Rahim yang mewakili tertuduh semasa perbicaraan yang masuk hari kedua kes pembunuhan pelancong wanita warga Perancis di Mahkamah Tinggi Kuantan di sini semalam.

Jef berkata, sebelum menemui botol arak itu, dia merupakan antara beberapa anggota polis yang mengiringi tertuduh ke lokasi pelupusan sampah itu untuk mencari barang bukti.
Kata saksi itu, polis meminta tertuduh mencari botol arak itu selepas usaha mencari botol arak yang diberitahu tertuduh digunakan sebagai senjata untuk mencederakan Stephanie gagal ditemui oleh polis yang mencari satu jam di lokasi sama.

Jef memberitahu, tertuduh menemui botol arak itu hanya selepas kira-kira 10 minit tertuduh diiringi mencari botol itu di tapak pelupusan sampah tersebut.

Comments