Budak 10 Tahun Mengaku Bunuh Budak 4 Tahun

Stockholm — Baru berusia 10 tahun namun sudah menjadi pembunuh. Pendedahan berkenaan telah mengejutkan penduduk di Sweden.

Kejadian berlaku melibatkan mangsa yang berusia berusia empat tahun yang mati akibat dijerut oleh seorang budak berusia 10 tahun di sebuah perkampungan di Ljungby di sini, dua bulan lepas.

Budak lelaki itu membuat pengakuan kepada polis, bahawa dia telah membunuh budak kecil berkenaan dengan menggunakan tali.

Kes berkenaan akan dirujuk kepada perkhidmatan sosial Sweden kerana di bawah undang-undang negara berkenaan, kanak-kanak di bawah 15 tahun tidak boleh dihukum.

Laporan media di Sweden sebelum ini melaporkan mangsa dibunuh selepas bermain di sebuah taman permainan kanak-kanak.

Ketika bermain, mangsa dipercayai terlibat dalam satu pertelingkahan dengan budak lain.

Beberapa jam selepas itu, mayatnya ditemui di kawasan kejiranan berhampiran taman permainan itu.
Lebih 35 anggota polis terlibat dalam siasatan kes berkenaan manakala 65 budak berusia antara lima dan 15 tahun telah disoal.

Comments