Bolasepak Piala FA Kelantan VS Sime Darby 20 Mei ini..

KOTA BHARU - Berita gembira buat penyokong The Red Warriors apabila Kerajaan Negeri hari ini mengumumkan 20 Mei sebagai cuti peristiwa sempena perlawanan akhir Piala FA membabitkan pertemuan Kelantan menentang Sime Darby FC di Stadium Nasional Bukit Jalil Sabtu ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, keputusan pemberian cuti tersebut diputuskan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Menteri Besar (Nik Abdul Aziz Nik Mat) memikirkan daripada sudut keselamatan dan keselesaan penyokong bola sepak Kelantan yang akan pergi menyaksikan perlawanan akhir tersebut. Ini merupakan hadiah daripada Kerajaan Negeri kepada seluruh rakyat Kelantan.

“Kita berharap para penyokong dapat merancang cuti dengan baik dan tidak tergesa-gesa untuk pulang selepas menyaksikan perlawanan tersebut. Rancanglah perjalanan dengan sempurna agar semua penyokong dapat pergi dan pulang ke negeri ini dengan selamat.

Beliau berkata demikian dalam sidang media mengenai pengumuman tersebut di Kompleks Kota Darul Naim di sini semalam. Menteri Besar Kelantan difahamkan kini berada di ibu Negara bagi menghadiri satu mesyuarat penting.

Menurut Abdul Fattah, Menteri Besar Kelantan itu juga berharap para penyokong dapat menjaga imej negeri ini terutamanya ketika memberi sokongan kepada pasukan The Red Warriors dalam perlawanan akhir itu nanti.

“Kalau Kelantan menang, ia bukan hanya diraikan penyokong negeri ini sahaja tetapi biarlah menjadi kebanggaan kepada seluruh Negara. Kebangkitan bola sepak Kelantan bersandarkan kepada faktor pemain yang hebat dan penyokong kita berdisiplin sejak akhir-akhir ini.

Menyentuh mengenai ganjaran kepada pasukan bola sepak Kelantan sekiranya berjaya menjulang kejuaraan piala tersebut, Abdul Fattah menjelaskan buat masa ini kerajaan negeri belum membuat keputusan mengenai perkara tersebut.

“Buat masa ini, biarlah kita menghadiahkan cuti ini kepada penyokong bola sepak Kelantan terlebih dahulu. Mungkin soal imbuhan kita akan pertimbangkan selepas ini,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Fattah turut memaklumkan Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan (DPPNK) mengambil inisiatif dengan mengadakan tayangan skrin gergasi sempena perlawanan akhir Piala FA itu di Padang Perdana Sabtu ini.

Kelantan membuat penampilan kali ketiga di pentas final dalam usaha mereka memburu kejuaraan pertama Piala FA setelah dikecewakan oleh Selangor menerusi sepakan penalti 4-1 pada 2009 selain tunduk 1-2 kepada Terengganu pada tahun lalu.-sumber

Comments