Bekas polis mati dipukul

IPOH, 20 mei– Seorang lelaki ditemui mati dalam keadaan tertiarap dengan kesan kecederaan di kepala, di tepi jalan Medan Bistari, di sini, semalam.

Mangsa dikenali sebagai M Shankar, 28, merupakan bekas polis dari Singapura dan dipercayai baru sebulan menetap bersama keluarga di Tanjung Rambutan selepas kontraknya tamat di negara itu.

Bapa saudara mangsa, K Manivellu, 58, berkata, dia mengetahui kejadian itu selepas menerima panggilan polis yang memberitahu keadaan anak saudaranya itu pada jam 5 pagi, semalam.

“Shankar keluar makan bersama rakan-rakannya pada jam 10 malam dan selepas itu kami tidak menyedari dia tidak pulang ke rumah sehinggalah kami menerima panggilan polis pagi tadi (semalam),” katanya ketika ditemui di perkarangan Unit Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, dipercayai mangsa dibunuh, bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengetahui punca kejadian.

“Mayat mangsa dihantar ke HRPB untuk besah siasatan dan kami masih belum mengenal pasti suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Comments