Bapa humban anak

KUALA LUMPUR 10 April : Perbuatan bapa yang menghumban dua anaknya yang hiperaktif umpama bola ke dinding sejak setahun lalu kononnya bagi mendisiplinkan mereka menunjukkan lelaki itu memerlukan rawatan bagi mendisiplinkan dirinya.

Pensyarah Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Wan Azreena Wan Jaafar berkata, pasangan suami isteri dikurniakan anak yang disahkan doktor sebagai hiperaktif sewajarnya bersabar melayan kerenah mereka.

“Anak hiperaktif tidak dapat memberi tumpuan menyebabkan mereka tidak boleh duduk diam dan ada kaedah tertentu untuk mengurangkan keaktifan mereka, tetapi bukan dengan mendera.

“Perbuatan bapa yang mendera anaknya disebabkan geram dengan tingkah laku mereka bukan saja boleh memberi kecederaan fizikal, malah emosi yang boleh memberi kesan buruk dalam jangka masa panjang,” katanya yang dihubungi, semalam.

Beliau mengulas muka depan Harian Metro semalam, mengenai perbuatan seorang lelaki yang didakwa melepaskan geram dengan menghumban kanak-kanak hiperaktif berusia tujuh dan sembilan tahun itu umpama bola ke dinding sejak setahun lalu sebagai alasan mahu mendisiplinkan mereka.

Sumber : Hmetro

Comments