Bagaimana jaringan sosial mengubah televisyen


Oleh: Erna Yusoff                                                                                                     

Jika dahulu, televisyen diibaratkan robot yang hanya mampu tersenyum, namun tidak boleh berkata-kata. Ia tidak mampu membalas balik kata-kata atau perbuatan orang lain terhadapnya dan hanya mampu melakukan satu perkara sahaja. Dalam erti kata lain, televisyen sebelum ini hanya menggunakan komunikasi satu hala sahaja dengan penonton. Jika ada respon dari penonton kepada syarikat televisyen, ia mengambil masa untuk disampaikan kembali kepada penonton.

Tapi itu dulu, sekarang tidak lagi.

Kehadiran jaringan sosial dalam media elektronik baru ternyata mengubah segala-galanya. Sebelum ini, ramai yang bimbang jika televisyen tidak mampu mengejar kepesatan dan populariti internet, dan menyebabkan media tradisional itu pupus. Ternyata, tekaan itu tidak benar sama sekali. Malah, stesen TV yang ada kini mengambil kesempatan ini untuk membaikpulih sistem mereka menjadi lebih baik.

Facebook dan twitter adalah antara jaringan sosial paling popular di Malaysia.

Selain digunakan untuk tujuan promosi, jaringan sosial turut digunakan untuk mendapatkan tindakbalas orang ramai tentang rancangan yang disiarkan. Interaksi antara televisyen dan penonton kini menjadi interaksi dua hala. Stesen televisyen yang dulunya hanya mampu menayangkan cerita atau berita tanpa interaksi dengan penonton, kini mampu berbuat demikian dengan mudah.

Selebriti boleh berkomunikasi dengan peminat dengan senang, dan mengajak peminat menonton siaran yang disertai mereka. Secara tidak langsung, ia menambahkan rating rancangan. Peminat pula berpeluang berkomunikasi dengan selebriti yang disukai, menambahkan minat mereka untuk mengetahui lebih lanjut tentang selebriti kesayangan mereka.

Ia juga menjimatkan masa dan wang ringgit.

Setiap updates boleh disampaikan kepada orang ramai dalam sekelip mata. Berita terbaru, atau isu-isu hangat dari dalam dan luar negara, disampaikan dengan sangat pantas. Tidak perlu bersusah payah menghubungi banyak pihak untuk mengesahkan berita, kerana ia boleh disahkan oleh pihak itu sendiri.

Setiap rancangan terbaru, boleh dipromosikan dengan caj yang sangat murah atau percuma. Malah promosi tersebut meliputi bukan setakat dalam negara, malah hingga ke seluruh dunia. Setiap masa, di mana sahaja, ia boleh diupdates dengan teknologi yang ada.

Ia ringkas, aplikasinya senang, dan disukai penonton.

Hampir separuh daripada penonton ialah remaja-remaja yang sukakan teknologi baru. Jaringan sosial adalah antara aset terpenting yang menghubungkan mereka. Mereka mudah terpengaruh dan ketagih dengan media sosial. Jadi mereka menyumbang kepada pertumbuhan jaringan sosial terbesar, sekaligus cepat update dengan isu semasa.

Jika dulu, seseorang perlu memiliki komputer untuk menggunakan kemudahan jaringan 
sosial, kini tidak lagi.Anda hanya perlukan telefon bimbit yang mempunyai akses internet, ipad, atau iphone. Harganya juga jauh lebih murah daripada sewaktu awal ia diperkenalkan. Dengan menggunakan jaringan sosial untuk mempromosikan siaran televisyen, mereka sekaligus mendekatkan penonton dengan televisyen. Segalanya pantas dan berkesan.


Comments