Anwar gesa belanjawan 2012 dibentangkan semula, tuntut debat dengan PM


KUALA LUMPUR- Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menggesa supaya belanjawan 2012 dibentangkan semula dan dibahaskan dalam Parlimen pada sesi bulan Jun kerana dikatakan terdapat kesilapan dalam andaian pertumbuhan yang digunakan.
 
Menerusi penulisan dalam blognya hari ini, beliau menegaskan bahawa andaian ekonomi yang digunakan iaitu pertumbuhan 5.0% – 5.5% dan 5% – 6% untuk tahun 2011 dan 2012 adalah tidak tepat.

“Pengumuman Bank Negara Malaysia pada 21 Mac 2012 yang menyemak unjuran pertumbuhan ekonomi 2012 kepada 4% hingga 5% sahaja menyetujui gesaan saya supaya Belanjawan 2012 dibentangkan semula.”

Katanya, tindakan kerajaan membelanjakan wang negara berdasarkan belanjawan 2012 secara berterusan akan memberikan kesan parah terhadap kadar defisit dan menyebabkan nisbah hutang negara melangkaui had 55% berbanding KDNK.

Dalam penulisan blognya, beliau menyebut satu daripada penjajaran semula ekonomi yang dicadangkan oleh Pakatan Rakyat ialah mengubah dasar yang menumpukan kepada sasaran ekuiti 30% kepada sasaran ekonomi berteraskan pendapatan minima RM4,000 sebulan untuk setiap isi rumah bagi setiap keluarga dalam tempoh lima (5) tahun tempoh 
pentadbiran Pakatan Rakyat.

“Malang sekali apabila Perdana Menteri Malaysia tidak dapat membezakan di antara gaji minima yang dikuatkuasa melalui undang-undang buruh dan sasaran pendapatan isi rumah yang dicapai melalui kebijakan ekonomi.” katanya.

Beliau mensasarkan pendapatan isi rumah purata sebanyak RM4000 sebulan bagi setiap keluarga di Malaysia seandainya Pakatan Rakyat memenangi Pilihan Raya Umum ke 13 dan menegaskan bahawa ia mampu dicapai menerusi gabungan dasar ekonomi pro-rakyat yang dicadangkan.

Beliau turut mencabar Datuk Seri Najib untuk berdebat dengannya berkenaan isu terbabit. Menurutnya, keengganan beliau menerima cabaran debat darinya berkaitan dasar-dasar ekonomi jelas menunjukkan bahawa Pakatan Rakyat mampu melakukan dasar-dasar ekonomi yang dijanjikan.

“Keengganan beliau untuk berdebat dengan saya berkaitan dasar-dasar ekonomi hanyahanya mengesahkan dakwaan mutakhir ini bahawa beliau sememangnya memimpin sebuah kerajaan yang lemah – baik dari aspek ekonomi, moral dan juga intelektual.”

-YTT_

Comments