Anwar, Azmin dan Chegu Bard didakwa

Bekas pendakwaraya kes liwat Anwar jadi peguambela dalam kes Bersih 3.0

KUALA LUMPUR- Bekas Pendakwaraya Kanan Persekutuan, Dato' Yusof Zainal Abidin hari ini tampil bersama Karpal Singh di mahkamah sebagai peguambela kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes Bersih 3.0.

Ini mengejutkan banyak pihak kerana beliau ialah bekas pendakwaraya dalam kes Liwat 11 Anwar Ibrahim, sebelum meletakkan jawatan sebagai Pendakwaraya Kanan Persekutuan setelah kes tersebut selesai.

Tiga pemimpin kanan PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Azmin Ali dan Badrul Hisham Shaharin hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Jalan Duta  bagi menjawab tuduhan terhadap kesalahan di bawah Seksyen 4(2)(c) Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 735), atas pertuduhan melanggar arahan mahkamah yang melarang orang ramai memasuki Dataran Merdeka ketika perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lepas.

Dalam notis yang berasingan, Azmin turut menerima pertuduhan di bawah Seksyen 98 Kanun Tatacara Jenayah yang telah dibuat pada 26 April 2912 atas tuduhan menyertai protes jalanan bagi maksud membantah perintah Mahkamah Majistret.

Azmin dituduh bersama beberapa penyokong BERSIH 3.0 mengingkari perintah yang dikeluarkan oleh Majistret Zaki Asyraf Zubir pada 26 April dengan membuka sekatan besi halangan di Dataran Merdeka.

Notis itu juga menyatakan keengkaran mereka dan penyokong BERSIH 3.0 yang lain mungkin menyebabkan rusuhan atau gaduh-gempur di kawasan tersebut.

Oleh itu, beliau dituduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 188 dibaca bersama Seksyen 109 dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan (Akta 574).

Pertuduhan kes ke atas mereka dibacakan di depan Hakim Tuan Mahmud Abdullah.
Hakim membenarkan ikat jamin sebanyak RM 500 setiap seorang manakala tarikh perbicaraan ditetapkan kepada  2 Julai 2012.

Pada masa yang sama, banyak pihak mempertikaikan kenapa hanya tiga pemimpin kanan pembangkang sahaja yang didakwa, sedangkan hampir 300,000 orang menyertai perhimpunan pada 28 Aril lepas.

Sivarasiah dalam twitternya berkata pertuduhan tersebut hanyalah agenda politik semata-mata kerana pertuduhan pertama iaitu protes jalanan melibatkan 300,000 orang peserta dan bukan tiga orang sahaja.

Zaid Ibrahim pula menyelar tindakan menghadapkan pemimpin-pemimpin PKR itu ke mahkamah dengan kesalahan ringan ketika pilihanraya semakin hampir sebagai “plain dumb”.

Comments