Mungkinkah ada agenda tersembunyi dalam provokasi Bersih 3.0?


Daripada: Yang Tertanya-Tanya

Tidak perlu turun padang untuk menyaksikan kejadian sebenar, kerana teknologi masa kini membolehkan mata dan telinga kita bergerak seiring dengan mereka yang berada disana. Mungkin bukan seratus peratus tepat, tapi kebanyakannya “live” dari sana.  

Itu juga yang terjadi kepada perhimpunan Bersih 3.0 kali ini yang diuar-uarkan sebagai bersih dan aman. Melihat footage rakaman video dari banyak pihak, kita dapat menilai sendiri bagaimana kemarahan boleh merugikan banyak pihak.  

Yang berada di situ sekalipun sebenarnya tidak begitu jelas dengan keadaan sebenar, apalagi mereka tidak berada di situ. Jadi, tidak perlu menunding jari menyalahkan satu pihak sahaja, sedangkan masing-masing ada silapnya sendiri.

Sedar tak sedar, perhimpunan yang pada mulanya berlangsung dengan aman, tiba-tiba bertukar ganas dan mula mencederakan ramai orang serta merosakkan harta benda. Entah siapa dan bagaimana provokasi dimulakan, hanya mereka yang betul-betul berada di tempat kejadian yang tahu.

Bagaimanapun, saya tertanya-tanya juga jika benar provokasi itu datang daripada pihak yang menganjurkan perhimpunan, atau ada duri dalam daging yang menyucuk-nyucuk untuk memecahbelahkan dan menghapuskan fungsi sebenar perhimpunan.

Bukan mencurigai mana-mana pihak, tapi telah terbukti di beberapa tempat di dunia perhimpunan sebegini selalunya bermula dengan baik sebelum ada anasir-anasir luar yang masuk secara diam-diam untuk memecahbelahkan keadaan.

Di beberapa tempat di negara Arab, konco-konco Amerika menyelinap masuk, membakar hati-hati muda belia untuk menjatuhkan kerajaan yang tidak dapat dilakukan oleh mereka secara terang-terangan. Kemudian apabila negara tersebut mula berontakan, mereka mula berpura-pura menawarkan bantuan, sekaligus mencari peluang meletakkan boneka suruhan mereka untuk mentadbir.

Tanpa sedar, mereka akan terjajah secara senyap senyap. Andainya perkara yang sama berlaku di sini, kita juga akan turut terjajah oleh orang luar, sedangkan pejuang-pejuang negara dahulu kala berusaha keras untuk  lari dari genggaman mereka.

Justeru buat pejuang-pejuang keadilan yang merasakan mereka cuba menegakkan kebenaran, apa kata fikir sejenak dahulu sebelum membuat sebarang tindakan, kerana ia mungkin lebih merosakkan keadaan. Marah itu bisikan syaitan, jadi cuba hindarinya dengan banyak berselawat.

Comments